Maria yang merupakan seniwati filem Melayu berkata, Kumpulan Utusan termasuk majalah Wanita dan akhbar Utusan Malaysia me­rupakan salah satu medium publisiti utama beliau dan rakan-rakan lain untuk mencipta nama.

“Saya mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada Kumpulan Utusan yang telah menjadikan siapa diri saya sekarang ini. Tanpa Utusan, siapalah saya.

“Walaupun anda seorang pelakon atau penyanyi yang baik, anda tidak akan ke mana-mana dalam industri jika tiada media membantu anda seperti Utusan membantu saya dan anak-anak seni yang lain,” katanya ketika ditemui dalam Majlis Minum Petang Sempena 48 Tahun Majalah Wanita di sini, semalam.

Dalam majlis itu, beliau menerima Anugerah Cover Bintang Legenda Majalah Wanita.

Bercakap mengenai perubahan peranan kaum hawa dari zaman dahulu hingga kini, Maria berkata, wanita yang diibaratkan sebagai tangan yang menggoncang dunia tidak boleh kalah dengan kaum lelaki dalam apa jua bidang.

“Kita bukan mahu mengatasi kaum lelaki kerana kita sebagai orang Islam tahu fitrah tetapi wanita tetap tidak boleh kalah.

“Kita memainkan peranan yang sangat penting dalam sesebuah keluarga malah kini saya melihat peranan wanita di peringkat tertinggi juga harus dijadikan contoh yang baik bagi memastikan kita tidak ketinggalan,” katanya.