Pengarah Pusat Keusahawanan dan Program Ijazah Kolej Uniti, Dr. Syed Omar Syed Agil berkata, kesemua pelajar Cina yang beliau didik termasuk yang terbaik tidak pernah mengambil UEC malah cukup dengan mengikuti kurikulum sekolah kebangsaan dan mengambil SPM dan STPM. 

“Pelajar Cina yang lahir dari sekolah kebangsaan in ramai yang kini bergelar profesor, doktor, jurutera, arkitek malah usahawan Cina yang terbaik dan mampu bercakap dalam bahasa Melayu. 

“Ramai daripada mereka berjaya melanjutkan pelajaran ke luar negara. Tidak timbul masalah apa apa dengan kurikulum sekolah kebangsaan dan peperiksaan yang sedia ada kecuali mungkin perlukan penambahbaikan dalam beberapa aspek

“Maka sebab tu saya berpendirian sepanjang pengalaman saya sebagai pendidik, Malaysia tidak perlukan UEC ini,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini. 

Beliau diminta mengulas cadangan supaya UEC diiktiraf sebagaimana Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari mengumumkan pengambilan lulusan UEC akan dilaksanakan sebagai antara syarat perjawatan peringkat negeri.

Syed Omar berkata, beliau yakin bekas-bekas pelajar dan pelajar kaum Cina bersetuju supaya UEC tidak perlu diiktiraf kerana telah terbukti tanpanya mereka semua mampu mencipta kejayaan dalam pelbagai bidang. – UTUSAN ONLINE