Timbalan Perdana Menteri ber­kata, Malaysia telah melihat terlalu banyak berita palsu disebarkan sehingga hari ini yang sudah tentunya bukanlah perkara baik untuk pembangunan negara.

Sehubungan itu, kata beliau, ke­rajaan komited untuk memastikan rakyat tidak ‘disajikan’ dengan berita-berita palsu dengan melaksanakan beberapa langkah yang dirasakan perlu.

Jelas Ahmad Zahid, langkah yang diambil kerajaan tidak sewajarnya dilihat sebagai menafikan kebebasan menggunakan internet dan plaftorm media sosial.

‘‘Langkah yang diambil juga bu­kanlah bertujuan menutup mu­lut pengkritik kerajaan atau pun bertentangan dengan kebebasan bersuara dan media.

‘‘Langkah yang diambil adalah untuk mendidik orang ramai supaya menjadi pengguna internet yang lebih bertanggungjawab dan bukannya penyebar berita palsu,’’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis penutup Fo­rum Putrajaya 2018 bersempe­na Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2018 dan Pame­ran Keselamatan Kebangsaan Asia (Natsec) 2018 di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mo­hamed Noor.

Dalam konteks keselamatan na­sional, Ahmad Zahid berkata, perkembangan pesat teknologi ba­haru memberi ancaman yang le­bih besar khususnya dalam dimensi siber.

Kata beliau, perkara itu menim­bulkan persoalan sejauh mana organisasi keselamatan dan pertahanan perlu bertindak balas.

‘‘Ini merupakan antara cabaran yang perlu didepani oleh semua agensi keselamatan dan pertahanan pada masa kini dan tahun-tahun mendatang,’’ ujar beliau.

Terdahulu, sebelum menghadiri majlis penutup Forum Putrajaya 2018, Ahmad Zahid meluangkan masa hampir dua jam melawat gerai-gerai pameran DSA 2018 dan Natsec 2018.