Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkata, Kerajaan Negeri Selangor telah memberi kelulusan tanah seluas 4.04 hektar bagi membina sekolah tersebut pada tahun 2015.

“Itu kena tanya kerajaan lama. sewaktu kami mendapat mandat untuk sekolah ini termasuk sekolah lain yang tertangguh pembinaannya kita percepatkan. 

“Sejak Oktober lagi banyak projek yang telah kita mulakan dan kita akan mulakan pada bulan-bulan akan datang,” katanya selepas melawat tapak pembinaan sekolah tersebut.

Beliau berkata demikian selepas pemberita menanyakan apakah sebab utama penangguhan pembinaan sekolah tersebut berlaku.

Jelas Maszlee, kos projek tersebut RM20.7 juta dan akan mengambil masa selama 106 minggu iaitu dua tahun dua bulan untuk disiapkan.

“Kita telah berpesan kepada kontraktor, kita tak mahu lagi projek sakit, terbengkalai dan lambat siap malah kalau boleh kita mahu siap jika dapat sebelum tempohnya.

“Kita pernah lakukannya di Putrajaya, apabila pembinaan bilik darjah yang sepatutnya disiapkan 11 minggu berjaya disiapkan sembilan setengah minggu. Jadi ada track rekod dan kita boleh lakukannya,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Maszlee menegaskan lawatannya ke Beranang, Semenyih hari ini telah dirancang awal oleh Kementerian Pendidikan, tiada kena mengena dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

“Program yang dilakukan oleh kementerian berterusan pada setiap tahun, tidak kira sama ada PRK atau apa sahaja yang berlaku kita telah merencakan program sedari awal dan bukan hanya di Beranang.

“Sama ada ada PRK atau tidak, kementerian akan melaksanakan segala program secara berterusan di seluruh negara,” katanya.

PRK DUN Semenyih ditetapkan pada 2 Mac depan, penamaan calon pada 16 Februari manakala tarikh mengundi awal pada 26 Februari. - UTUSAN ONLINE.