Penyanyi Menahan Rin­du ini memberitahu, dia terpaksa membuat pilihan itu demi memberi fokus kerjaya seni yang sedang berkembang hebat pada ketika ini.

Graduan bidang Sains Perubatan di Management and Science University (MSU), Selangor ini berkata, itu adalah satu keputusan yang menyedihkan dirinya, bagaimanapun akur dengan keadaan semasa bagi melunaskan komitmennya sebagai penyanyi sepenuh masa.

“Saya ‘dilamar’ menjadi penyanyi rakaman oleh syarikat FMC Music ketika berada dalam tahun akhir pengajian di universiti. Tak sangka pula, saya diterima baik oleh rata-rata peminat seni sekarang ini.

“Sekarang banyak tawaran menyanyi datang sehingga kepada ha­ri­ maj­lis konvokesyen saya baru-baru ini. Memikirkan saya tidak boleh lagi buat dua perkara dalam satu masa, dengan berat hari, saya buat keputusan untuk menangguhkan pengajian ke peringkat sarjana walaupun pada awalnya sudah merancang untuk memilih bidang Sains Perubatan jika me­nyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi,” kata Wany kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.

Selain itu juga, menurut Wany dalam keadaan sekarang dia perlu memilih untuk fokus kepada kerjaya kerana mahu mengumpulkan wang bagi meneruskan pengajian apabila masanya sudah sampai kelak.

“Kos bayaran kursus pilihan saya itu bakal menelan belanja sekitar RM10,000 untuk satu semester, jika di universiti tempatan. Jadi, saya perlu ada simpanan sendiri bagi membiayai yuran pe­ngajian itu nanti,” kata Wany yang berhasrat untuk menjadi pensyarah ini.