Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, sekiranya boleh, kerajaan ingin menggugurkan projek itu atau akan menangguhkannya atau mencari cara lain untuk melakukannya tanpa membebankan banyak wang.

“Pada masa ini kita masih mengkaji, sama ada untuk menangguhkan atau memberi kepada pihak lain tetapi kita perlu berunding dengan mereka,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, Dr. Mahathir yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) merasmikan sesi townhall pertama bersama 130 ketua-ketua bahagian parti tersebut, di sini.

Dr. Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi sewaktu lawatan kerja ke Beijing, China baru-baru ini mengumumkan pembatalan projek ECRL.

ECRL merupakan projek bernilai RM81 bilion yang menghubungkan Pelabuhan Klang, Selangor ke Kota Bharu, Kelantan, namun pelaksanaannya digantung sejak Julai lalu.

Dalam perkembangan lain, Dr. Mahathir berkata, Malaysia sedang berusaha untuk mendapatkan pinjaman dari Jepun dan permintaan tersebut sedang diuruskan di peringkat pegawai kerajaan.

“Kita tidak ke pejabat Perdana Menteri (Jepun) dan meminta tolong memberi kami wang,” katanya mengulas mengenai permintaan kerajaan Malaysia untuk meminjam dari Jepun

Jun lalu, Dr. Mahathir meminta Jepun memberi kredit Yen kepada Malaysia dan rakan sejawatannya, Shinzo Abe dengan kadar faedah hanya 0.7 peratus yang dibayar balik lebih 40 tahun.

Dalam perkembangan sama, Dr. Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menafikan dakwaan mengenai lawatan kerja beliau ke Beijing, China baru-baru ini untuk mendapatkan pinjaman daripada republik tersebut.

“Tidak, kita sudah cukup pinjam daripada China,” katanya.