Pengerusi Sathya Sai International Organisation of Malaysia, Prof Dr. G. Suresh Kumar berkata, jumlah remaja yang terlibat kes jenayah, penagihan dadah, meragut dan sebagainya terus meningkat dan perlu dihentikan.

“Selain penguatkuasaan lebih tegas, kita turut berperanan sebagai komuniti dan sentiasa peka keperluan semasa.

“Ada kajian dijalankan menunjukkan remaja seawal usia 11 tahun mula merokok seterusnya semakin liar hingga melakukan pelbagai jenayah termasuk membunuh dan merompak,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menjadi panel program Memerangi Penyalahgunaan Dadah, Penggunaan Alkohol, Isu Perhubungan, Pembaziran Masa dan Merokok (DARTS) di Brickkfields International Kolej di sini hari ini.

Suresh Kumar berkata, beberapa mangsa kes jenayah turut tampil berkongsi pengalaman dalam forum berkenaan.

Seorang lagi ahli panel, Ram Prasath Babu berkata, setiap remaja akan cenderung melakukan jenayah jika mereka tidak dipantau rapi oleh keluarga.

“Semua pihak termasuk komuniti, guru dan penguat kuasa harus berperanan dengan lebih peka.

“Mereka juga perlu segera mengambil tindakan termasuk me­laporkan kepada polis atau memberikan kelas pemulihan untuk mengelak remaja daripada terus terlibat dengan gejala sosial,” katanya.