Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah, permusuhan dan perpecahan akan berlaku apabila wujudnya ajaran serta fahaman yang boleh menggugat akidah umat Islam khususnya di negeri ini.

“Allah SWT berfirman dalam surah Ali Imran ayat 103 bermaksud: Dan berpegang teguhlah kamu pada tali Allah, semuanya dan janganlah kamu berpecah belah dan ingatlah kamu akan rahmat Allah ke atas kamu ketika kamu bermusuh-musuhan, lalu Dia menyatukan hati-hati kamu, supaya dengan rahmat-Nya, kamu menjadi bersaudara,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Pahang di Masjid Sultan Ahmad 1 di sini hari ini.

Kira-kira 1,000 umat Islam hadir pada majlis berkenaan yang bertemakan Menyantuni Umat Membawa Rahmat.

Yang hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Pendidikan dan Kesihatan negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh dan Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman. 

Tengku Abdullah bertitah, umat Islam harus mengambil pengajaran daripada peristiwa hijrah yang menyaksikan Rasulullah SAW menempuh pelbagai dugaan demi menegakkan syiar Islam.

Ujar baginda, selain kecekalan Rasulullah SAW, semangat perpaduan yang ditunjukkan umat terdahulu harus dijadikan contoh masyarakat Islam di negara ini. - UTUSAN ONLINE