Titah baginda, umat Islam di Malaysia juga sepertimana di tempat-tempat lain kini tidak terlepas daripada terdedah kepada pelbagai isu dan permasalahan yang berkaitan dengan agama. 


Untuk mencari penyelesaian dan ijtihad, maka, tambah baginda, khazanah keilmuan Islam yang terdapat dalam pelbagai mazhab Ahlus Sunnah Wal Jama’ah juga perlu digali dan diambil manfaat. Tidak berpada jika kita menghadkan diri kita kepada satu mazhab Fekah sahaja. 


“Inilah pendekatan yang Perlis bawa selama ini. Fatwa-fatwa Perlis mengambil kira semua mazhab Fekah secara meluas,” titah baginda.


Demikian titah baginda yang juga merangkap Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) apabila diminta mengulas mengenai keterbukaan mazhab yang dipraktikkan di negeri Perlis selepas berkenan berangkat menyerahkan sumbangan agihan zakat MAIPs kepada Masjid Hedayatul di Chiang Mai, Thailand baru-baru ini.


Imam masjid berusia 102 tahun yang terletak di pusat bandar Chiang Mai tersebut, Ustaz Zangpu Saephan menerima sumbangan itu daripada baginda bagi pihak masjid itu.


Tambah baginda lagi, banyak isu dapat diberikan jawapan secara lebih realistik dan relevan. Itulah juga yang dilakukan oleh badan-badan fatwa di peringkat antarabangsa seperti European Council for Fatwa and Research yang terdiri daripada tokoh-tokoh ilmuan sedunia. 


Menurut baginda, seperti yang kita tahu, hari ini kita sering mendengar pelbagai isu agama dibangkitkan. Oleh itu baginda menasihatkan supaya pembacaan diperluaskan serta minda dibuka untuk menilai dan menganalisa pandangan dari mazhab dan sarjana yang pelbagai supaya tidak membazirkan khazanah pemikiran dan keilmuan yang ada.