Berucap pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Ke-72 di sini hari ini, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman menegaskan, penduduk di wilayah Rakhine yang ditindas sejak sekian lama mungkin menjadi sasaran mudah untuk direkrut oleh kumpulan pengganas.

Katanya, perasaan kecewa dan marah akibat penindasan berpanjangan boleh menjadikan kumpulan ini sebagai ‘sarang pembiakan’ ekstremis.

“Dalam beberapa minggu ini, kita melihat bagaimana keganasan baharu berulang sehingga menyebabkan kira-kira 400,000 penduduk etnik berkenaan melarikan diri ke sempadan Bangladesh. Operasi pembersihan etnik yang dijalankan itu membawa kepada satu krisis kemanusiaan berskala besar. Dunia tidak boleh berdiam diri dan membiarkan kekejaman ini berterusan,” tegasnya.

Beliau menegaskan, walaupun kerajaan Myanmar berulang kali memberi jaminan akan mengambil tindakan tetapi berdasarkan kepada apa yang sedang berlaku di wilayah tersebut menunjukkan tidak ada langkah efektif dilaksanakan bagi menghentikan pembunuhan di kawasan itu.

Sehubungan itu, Anifah sekali lagi meminta Myanmar segera menghentikan keganasan dan pemusnahan harta benda penduduk selain membenarkan bantuan kemanusiaan disalurkan ke situ.

“Adalah amat menyedihkan dalam keadaan semua negara memberi penuh perhatian kepada usaha mewujudkan keamanan, kehidupan lebih baik dan planet yang mapan, masih ada lagi penduduk di satu sudut dunia lain sedang menderita akibat jenayah mengerikan yang bertentangan dengan nilai-nilai kemanusiaan,” katanya.

Dalam pada itu Anifah turut memuji dan menghargai kerajaan Bangladesh yang banyak membantu pelarian masuk ke negara berkenaan.

Katanya, sejak tiga minggu lepas lebih setengah juta pelarian Rohingya sudah memasuki Bangladesh dan ini sudah tentu membebankan negara itu kerana memerlukan kos yang tinggi.

Menurut Menteri Luar itu, Malaysia sudah menghantar bantuan kemanusiaan kepada pelarian Rohingya pada 9 September lalu dan akan terus berbuat demikian dari semasa ke semasa.

“Atas semangat kemanusiaan, saya menyeru masyarakat antarabangsa agar menyokong usaha-usaha menyalurkan bantuan kemanusiaan sebagaimana dilakukan oleh Bangladesh,” katanya

Berhubung isu Palestin, Anifah menyatakan komitmen Malaysia untuk terus membantu kerja-kerja Agensi Bantuan dan Kerja (UNRWA) PBB.