Konsensus itu dicapai pada Sidang Khas Tergempar DMJ yang diadakan semalam dan disiarkan secara langsung di Facebook.

Menurut DMJ, keputusan itu diambil atas beberapa faktor iaitu tindakan kerajaan menandatangani Statut Rom secara terburu-buru tanpa perbahasan di Parlimen dan tanpa pengetahuan Majlis Raja-Raja merupakan satu tindakan biadap serta tidak menghormati institusi raja Perlembagaan serta sistem demokrasi di negara ini.

Selain itu, tambah DMJ, Artikel 27 Statut Rom secara automatik melucutkan kekebalan atau imuniti Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja Melayu sedangkan ia bercanggah dengan Perkara 32(1), 181(2), 182 dan 183 Perlembagaan Persekutuan.

"DMJ berpendirian bahawa tindakan menandatangani Statut Rom menggambarkan seoah-olah kerajaan tidak yakin dengan sistem perundangan dan kehakiman negara sehingga sanggup menyerahkan kuasa perundangan kepada pihak luar.

"Ia merupakan satu bentuk penghinaan terhadap sistem perundangan dan kehakiman negara," menurut DMJ dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah DMJ, tiada sebarang keperluan yang mendesak untuk Malaysia menjadi negara berpihak sedangkan negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat, Israel, China dan Rusia bukan negara di bawah Statut Rom, malah, Singapura, Brunei dan Filipina juga tidak menjadi negara anggota.

DMJ juga berdiri teguh menyokong pendirian dan ketegasan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim supaya Malaysia menarik diri daripada menandatangani Statut Rom. - UTUSAN ONLINE.