Mazlan Aliman
Mazlan

Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Kebangsaan, Datuk Mazlan Aliman berkata, permintaan kelapa muda di pulau peranginan itu sering terputus dan golongan berkenaan perlu menjadikan tanaman itu sebagai sumber kekayaan baharu kepada mereka.

"Di Langkawi, kelapa muda mencecah sehingga RM8 sebiji tetapi bekalannya sering terputus, jadi saya yakin pengusaha mampu memperoleh pendapatan lebih lumayan dengan tanaman kelapa pandan ini," katanya selepas Majlis Ramah Mesra Kepimpinan Peladang di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Pengangkutan serta Industri Utama negeri, Azman Nasrudin dan Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri, Datuk Abd. Lateh Mohd. Saman.

Mengulas lanjut, Mazlan berkata, program tanam semula di tanah Felcra di daerah itu perlu dilakukan berikutan masih ada sebahagian tanah rancangan berkenaan belum ditentukan untuk sebarang tanaman.

"Ada sebahagian tanah Felcra yang belum ditentukan untuk tanam apa, jadi saya cadangkan tanaman kelapa pandan ini berikutan kejatuhan harga getah ketika ini selain boleh merancakkan sektor agro pelancongan yang sedia ada di Langkawi.

"Selain Langkawi, pulau-pulau peranginan lain seperti Pulau Tioman dan Pulau Pangkor juga boleh melihat kesesuaian tanaman kelapa pandan ini atau tanaman lain untuk diusahakan," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, pihaknya sedang merancang untuk membina sebuah pusat sehenti terbesar yang menjadi tempat pengumpulan dan penjualan produk peladang secara terus di ibu negara selain bercadang mewujudkan platform membeli-belah secara dalam talian produk-produk pertanian. - UTUSAN ONLINE