Pengarahnya, Mohd. Muhaimin Ibrahim berkata, sampel tanaman itu yang ditanam di Bukit Mertajam di sini telah diambil tiga minggu lalu dan akan dilupuskan segera jika didapati mempunyai penyakit.

“Mengikut maklumat yang diperolehi tanaman guarana telah ditanam di sekitar Bukit Mertajam sejak tiga tahun lalu.

“Sampel tanaman ini telah diambil oleh Bahagian Biosekuriti Tumbuhan Jabatan Pertanian negeri untuk kajian dan jika didapati mempunyai penyakit kita akan lupuskan tanaman berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan mengenai kebimbangan ratusan petani yang dipercayai menjadi mangsa penipuan individu yang bergelar ‘Datuk’ menerusi tawaran membangunkan projek tanaman guarana.

Bagaimanapun, syarikat yang terbabit dalam membawa masuk biji benih guarana, Ritz Corporate Holding Berhad menjelaskan penipuan itu tidak berlaku namun mengakui terdapat kes pihak yang menyamar sebagai ejen syarikat tersebut dan mengambil wang daripada petani.

Tanaman guarana yang berasal dari Brazil didapati ditanam di beberapa kawasan di Kedah, Kelantan dan negeri ini namun tidak dibenarkan dibawa masuk ke Sabah oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Sabah.

Dalam pada itu, Mohd. Muhaimin berkata, buat masa ini pihaknya masih menunggu arahan rasmi daripada Kementerian Pertanian mengenai status tanaman tersebut.

“Isu mengenai tanaman ini masih berlegar-legar, masih belum ada keputusan daripada Kementerian Pertanian dari segi kebenaran atau larangan tanaman ini,” katanya. - UTUSAN ONLINE