Dari idea kereta terbang yang dikatakan sesuai untuk kegunaan Grab di negara ini, kepada tanaman buluh bagi menggantikan sawit, kini dicadangkan pula agar Selangor menjadi pengeluar ganja terbesar di dunia.

Kata Mohd. Shaid Rosli, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, yang melontarkan idea ‘hebat’ itu, dunia akan mengenali Malaysia jika Selangor mewujudkan 100 ekar ladang ganja, sekaligus menjana ekonomi negeri dan negara.

Jika idea tersebut boleh disifatkan sebagai salah satu pelan strategik memperkasa atau memulihkan ekonomi Malaysia melalui sektor pertanian, Mohd. Shaid harus dipertimbang untuk menganggotai Majlis Penasihat Ekonomi Negara.

Barangkali, idea itu teraspirasi daripada Belanda. Negara yang sering dijadikan kiblat jika memperkatakan soal ganja. Namun jika bertujuan menjana ekonomi menerusi pertanian, kehebatan Belanda dalam bidang agro bukan disebabkan tanaman ganja.

Sektor Agro tourism Belanda maju disebabkan penguasaan teknologi dalam sektor pertanian sehingga meletakkan negara tersebut sebagai salah satu komoditi utama walaupun fizikal negaranya berada di bawah aras laut, selain turut disumbangkan segmen hospitaliti yang mesra pelancong.

Dalam hal ini, tidak adil juga untuk menuding jari kepada Mohd. Shaid kerana beliau sekadar melontarkan idea. Pemikiran ‘di luar kotak’ beliau mungkin tidak sesuai dengan Jeram, yang penduduknya orang kampung dan begitu juga rakyat Malaysia keseluruhannya.

Cumanya, jika sekalipun hendak dilihat sebagai pemimpin berfikiran jauh, ada eloknya juga beliau turun padang terlebih dahulu dan membuat bancian, berapa ramai penagih di Jeram, Selangor dan Malaysia serta kesan kepada masyarakat ekoran gejala sosial itu.

Seperkara lagi, kalau harga telur pun sukar untuk kerajaan kawal, ADUN Jeram itu harus muhasabah terlebih dahulu, apakah jaminan ganja ini jika dibenarkan tidak memudarat dan disalahgunakan. Tepuk dada, tanya akal. - UTUSAN ONLINE