Perkara itu berikutan persetujuan Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gejala Dadah (JKMD) agar pindaan akta berkaitan dibuat bagi memasukkan kesalahan menanam ketum tanpa kebenaran. 


Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, oleh itu kebenaran daripada pihak Kementerian Kesihatan diperlukan bagi penanaman tumbuhan berkenaan.


“Sebagaimana sedia maklum penanaman ketum buat masa ini adalah dibenarkan manakala apabila ianya dituai dan dijual adalah menjadi kesalahan.


“Jadi siapa hendak tanam itu perlu memohon dan tidak boleh sesuka hati,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat JKMD di bangunan Perdana Putra, di sini hari ini.


Yang turut hadir, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad.


Tambah Wan Azizah, mengikut peruntukan undang-undang, bahan mitragynine yang terkandung di dalam pokok ketum adalah tersenarai dalam Jadual Ketiga, Bahan Psikotropik, Akta Racun 1952. 


Kata beliau, bahan itu dikawal di bawah seksyen 30, Akta Racun 1952 iaitu pengawalan bagi import, eksport, pembuatan, penjualan dan lain-lain bahan psikotropik. - UTUSAN ONLINE