Timbalan Menterinya, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, projek itu boleh dibangunkan menerusi Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) dengan nanas sebagai tanaman utama.

“Bagi menjayakannya, ke­rajaan negeri boleh memberikan peluang kepada koperasi mahu pun Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) untuk memajukan tanah terbiar de­ngan tanaman tersebut.

“Peluang ini perlu direbut masyarakat luar bandar yang mempunyai tanah-tanah terbiar melalui bimbingan dan tunjuk ajar Lembaga Perin­dustrian Nanas Malaysia (LP­NM),” katanya.

Beliau berkata demikian da­lam sidang akhbar sele­pas merasmikan Seminar Tek­no­logi dan Inovasi Nanas sempena Fiesta Nanas di Hotel Pontian di sini malam tadi.

Seramai 150 peserta menghadiri seminar itu bertujuan memberi input dan penekanan mengenai hala tuju industri nanas selaras dengan matlamat Dasar Agromakanan Negara (2011-2020).

Yang turut hadir, Pengerusi LPNM, Datuk Samsolbari Jamali, Ketua Pengarah LPNM, Datuk Mohd. Anim Hosnan, Ketua Penolong Pegawai Da­erah Pontian, Abd. Hakim Abd. Manap dan Pengerusi Pela­dangNita negeri, Zarina Mohd. Bain.

Tajuddin berkata, peng­usaha mampu memperoleh pendapatan RM5,000 sebulan bagi setiap hektar tanaman dan jumlah tersebut selari dengan sasaran LPNM pada tahun 2020.

Menurut beliau, tanaman nanas dianggap sebagai sumber kekayaan baru berdasarkan permintaan yang tinggi di luar negara sekali gus memerlukan lebih banyak kawasan tanaman yang baharu.