Yang Dipertua MPKu Abdul Rahman Salleh berkata perbincangan perlu dilakukan bagi menjamin keselamatan para penduduk perumahan tersebut walaupun tiada sebarang runtuhan baharu dilaporkan setakat ini.

"Berdasarkan lawatan saya pada pagi tadi, pemaju perumahan sedang melakukan pemantauan selama 24 jam. Antara tindakan yang dilakukan termasuk menutup kawasan tanah runtuh itu dengan kanvas plastik sepanjang 60 meter," katanya yang dihubungi hari ini.

Abdul Rahman berkata difahamkan, pihak JKR dari Cawangan Kejuruteraan Cerun akan melawat kawasan kejadian hari ini bagi melakukan penilaian awal struktur tanah sebelum tindakan seterusnya dilakukan sama ada memasang tembok atau besi cerucuk bagi menguatkan tanah.

Beliau berkata pihaknya dalam masa yang sama sudah menasihati penduduk berhampiran runtuhan supaya membuat laporan berhubung kejadian itu dan segera berpindah sekiranya keadaan memerlukan.

Semalam, penghuni di jalan tersebut dikejutkan dengan kejadian tanah runtuh berukuran kira-kira 30 meter panjang dengan ketinggian 10 meter yang berlaku hanya kira-kira satu meter dari rumah mereka.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira 3 pagi, namun, tidak membabitkan kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda.

Beberapa penduduk sebelum itu turut mendakwa terdapat kesan rekahan berlaku di jalan tersebut beberapa hari sebelum kejadian.- BERNAMA