Ketuanya, Datuk Seri Ikmal Hisyam Abdul Aziz berkata, rakyat amat beruntung apabila Kerajaan Persekutuan memberikan sokongan penuh kepada program berkenaan apabila meluluskan pembinaan beberapa pusat pengajian di kawasan tersebut.

“Terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana telah meluluskan beberapa pembinaan pusat pendidikan seperti Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) yang akan memulakan pembinaan tahun ini.

“Pembinaan SBPI dilihat sesuai dengan rakyat Kelantan yang cenderung kepada pendidikan menggabungkan aliran agama, sains dan teknik,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan wang ihsan kepada pelajar Cemerlang Dalam Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tanah Merah, di sini hari ini.

Seramai 182 pelajar cemerlang dari 12 sekolah di Parlimen tersebut menerima sumbangan ber­kenaan bagi meraikan usaha gigih mereka dalam pelajaran.

Yang turut hadir Timbalan Ketua UMNO Bahagian, Mohd. Bakri Mustapha; Naib Ketua UMNO Bahagian, Baharudin Yusof; Ketua Wanita UMNO Bahagian, Dayang Saniah Awang Hamid dan Ketua Pegawai PPD Tanah Merah, Mashadi Mustafa.

Sementara itu kata Ikmal Hisyam, hasrat untuk menjadikan jajahan itu sebagai hab pendidikan dilihat bakal lebih menyinar apabila Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Tanah Merah memulakan operasinya pertengahan tahun ini.

Katanya, pengoperasian IKBN dan pembinaan MRSM serta SBPI tersebut akan menjadi permulaan kepada kawasan Parlimen ini mencapai hasrat menjadi salah sebuah hab pendidikan negeri ini selepas Jeli, Machang, Kota Bharu dan Bachok.