Bagi seorang peneroka, Azim Kasim, 69, selain penjualan tanah itu dibuat mengikut harga semasa yang tinggi iaitu RM1.18 bilion, dia turut meragui tindakan sebenar pemaju terbabit yang didakwa menawarkan pemberian rumah yang tidak mengikut spesifikasi asal seperti yang dijanjikan sebelum ini.

“Kalau diikutkan dengan tawaran sebelum ini, pemaju janji nak beri rumah jenis semi D yang dilengkapi dengan empat bilik. Namun apabila melihat perjanjian baharu, saya ditawarkan sebuah rumah dengan tiga bilik sahaja, sama seperti rumah kos rendah.

“Yang peliknya, mereka (pemaju) suruh kami menandatangani perjanjian tanpa menunjukkan sebarang pelan rumah. Itu sebab mengapa sebahagian daripada peneroka enggan menandatangani perjanjian baharu itu, kami merasakan seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena dalam hal ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam pada itu, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Tan Sri Noh Omar turut menyelar Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan menyifatkan tindakan kerajaan negeri dalam isu tanah tersebut seolah-olah satu pengkhianatan kepada rakyat sekali gus.

Malah Noh turut membayangkan isu itu turut memungkinkan Mohamed Azmin cuba mencari keuntungan tertentu di sebalik penjualan tanah berkenaan.

Lebih malang menurut Noh, kerajaan negeri dilihat turut gagal secara adil membela nasib kira-kira 981 peneroka asal apabila tuntutan mereka untuk mendapatkan pampasan wang tunai termasuk sebuah rumah seperti yang dijanjikan dinilaikan mengikut harga pada tahun 2000, bukannya berasaskan kepada harga semasa.

“Kita boleh lihat setiap kali masalah berlaku, beliau mengambil jalan mudah sama ada berdiam diri atau menyalahkan orang lain.

“Dalam isu tanah di mukim Ijok ini sebagai contoh, yang bersetuju supaya tanah milik kerajaan negeri itu diserahkan kepada dua syarikat swasta sebelum dijual kepada sebuah syarikat lain pada harga RM1.18 bilion adalah Menteri Besar (Mohamed Azmin) sendiri.

“Apabila kita (BN) dan bekas Menteri Besar (Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim) bersuara, beliau tuduh isu itu kononnya komplot bersama UMNO,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Rantau Panjang, Bestari Jaya di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE