Naib Ketua Pemuda UMNO, Senator Khairul Azwan Harun berkata, Felda tidak seharusnya memandang mudah isu tersebut kerana nilai hartanah yang terlibat bukan sedikit.

Menurutnya, Pemuda UMNO yakin dengan tindakan yang dibuat oleh pihak polis untuk menyiasat sepenuhnya kes tersebut dengan segera.

“Pemuda UMNO mahu polis segera selesaikan siasatan kes ini dan jika wujud manipulasi atau penipuan, maka mereka yang terlibat perlu dihadapkan ke muka pengadilan.

“Pemuda juga yakin kepe­mimpinan Tan Sri Shahrir Abdul Samad selaku Pengerusi Felda untuk menyelesaikan kemelut ini dengan kadar segera,” kata­nya dalam sidang akhbar selepas program Karnival Kembali Ke Sekolah di Dewan Majlis Daerah Perak Tengah di Kampung Gajah di sini hari ini.

Menurut Khairul Azwan, isu itu perlu diselesaikan dengan se­gera kerana ia tidak sihat untuk Felda dan kerajaan.

Justeru katanya, pihak-pihak yang berkenaan diminta tidak membuat sebarang spekulasi ber­hubung kes itu kerana ia akan mengganggu siasatan yang sedang dijalankan oleh polis.

Sementara itu, seramai 500 murid menerima sumbangan peralatan sekolah dan baucar bernilai RM50 setiap seorang untuk membeli baju dan kasut sekolah dalam Karnival Kembali Ke Sekolah itu.

Khairul Azwan berkata, pelajar yang menerima sumbangan dipilih daripada keluarga kurang berkemampuan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kampung Gajah dan DUN Sungai Manik.

Menurutnya, jualan kelengkapan persekolahan turut diadakan sempena karnival tersebut untuk memudahkan orang ramai membeli keperluan persekolahan anak-anak mereka.

“Lebih 2,000 orang datang membeli keperluan persekolahan di karnival ini yang menawarkan harga jualan yang jauh lebih rendah berbanding di kedai biasa,” katanya.