Tan Kok Wai
Tan Kok Wai

Beliau berkata pelantikan Kok Wai yang juga Anggota Parlimen Cheras mempunyai bidang tugas spesifik dan hanya sebagai pelengkap kepada duta Malaysia ke China Datuk Zainuddin Yahya.

"... memang pada dasarnya kita tidak lagi membuat lantikan politik sebagai duta. Negara China merupakan sebuah negara yang luas dan kita juga hendak membaiki serta menambah baik hubungan antara Malaysia-China.

"Itu yang difikirkan perlu untuk kita melantik utusan khas," katanya kepada pemberita semasa ditemui selepas menghadiri Majlis Perundingan Parlimen Indera Mahkota (MPIM) di Kompleks Dagangan Mahkota di sini, hari ini.

Saifuddin yang juga Anggota Parlimen Indera Mahkota menjelaskan secara dasarnya Tan sudah dilantik, namun pelantikan itu masih menunggu surat rasmi daripada Pejabat Perdana Menteri.


Kok Wai sebelum ini dilaporkan mengesahkan lantikannya sebagai duta khas ke China merangkap Pengerusi Majlis Perniagaan Malaysia-China (MCBC) sejak 1 Ogos lalu yang menimbulkan polemik kerana Pakatan Harapan telah mengkritik lantikan politik sebagai duta. 


Sementara itu, mengulas mengenai MPIM, Saifuddin berkata penubuhannya adalah untuk meningkatkan perancangan dan penyelarasan kerjasama semua pihak dalam mencari idea pembangunan serta penyelesaian permasalahan penduduk. 


Katanya, setakat ini keanggotaan MPIM adalah seramai 52 individu daripada pelbagai latar belakang, dan beliau berharap angka itu dapat ditingkatkan kepada 60 orang dengan penyertaan lebih ramai wanita serta anak muda. 


"Permasalahan yang banyak dibangkitkan pada mesyuarat sulung hari ini berkaitan dengan bidang ekonomi dan peluang pekerjaan, yang jika tidak diatasi boleh membawa kepada permasalahan lain seperti masalah sosial.


“Selain itu, ada pihak yang membangkitkan isu masalah remaja, pembangunan sektor pelancongan, masalah pendidikan dan kesihatan umum untuk kita sama-sama cari penyelesaiannya," katanya. 


Saifuddin menambah pihaknya akan cuba mengambil tindakan sewajarnya dalam isu tersebut dan berharap semua tindakan dapat diselesaikan atau disusuli langkah sewajarnya sebelum mesyuarat MPIM kedua yang dijangka pada Jun 2019. 


Saifuddin menambah hasil mesyuarat hari ini juga semua pihak bersetuju supaya aktiviti kemasyarakatan yang melibatkan semua termasuk golongan penjaja dapat diadakan pada Sabtu pertama setiap bulan. - BERNAMA