Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, sebelum ini, ketika zaman Allahyarham Tan Sri Adenan Satem atau Tok Nan memerintah, beliau sudah memansuhkan semua tol di negeri ini.

Katanya, apabila beliau menggantikan Tok Nan, polisi meringankan beban rakyat diteruskan dan salah satu usaha diambil ialah menghapuskan tambang feri.

"Pada tahun depan, kita akan hapuskan bayaran feri iaitu bermakna tiada bayaran dikenakan kepada pengguna perkhidmatan tersebut.

"Saya sudah mengarahkan Tan Sri Dr. James Jemut Masing (Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan negeri) untuk mengira kos perlu dibayar oleh kerajaan negeri kepada pengusaha feri jika bayaran perkhimatan mereka dihapuskan nanti," katanya dalam ucapan semasa Majlis Minum Petang Bersama Media, di sini hari ini.

Majlis perjumpaan itu diadakan sempena genap setahun enam bulan beliau mengetuai kerajaan negeri selepas menggantikan Allahyarham Tok Nan sejak memenangi Pilihan Raya Negeri pada Januari 2016.

Mengulas lanjut Abang Johari berkata, setakat ini, beliau sudah melawat 157 kawasan terpencil di luar bandar dan mendapati penduduk di kawasan ini amat memerlukan pembangunan infrastruktur seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik.

Katanya, paling kritikal ialah keperluan bekalan air bersih dan beliau telah meluluskan peruntukan RM1 bilion untuk penyelesaian jangka pendek bagi masalah itu, manakala projek saluran paip grid daripada empangan ke rumah penduduk bagi jangka panjang.

Tambahnya, disebabkan mengutamakan pembangunan infrastruktur di luar bandar, beliau menangguhkan dahulu rancangan pembinaan sistem transit aliran ringan (LRT) yang dicadangkan sebelum ini.

"Projek LRT hanya akan dilaksanakan jika benar-benar ada keperluan, misalnya berlaku kesesakan teruk di kawasan tumpuan seperti dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) di Kota Samarahan ke Kuching atau Serian ke Kuching," ujarnya. - UTUSAN ONLINE