Timbalan Ketua Pengarah Jakoa, Saiful Zahlan Muhamad Azmi berkata, ini kerana setiap tahun peruntukan bagi bantuan perumahan Jakoa agak terbatas berbanding permintaan yang tinggi oleh masyarakat berkenaan.

Sebagai contoh, katanya, untuk tahun ini, Negeri Sembilan dan Melaka hanya menerima sebanyak lima unit rumah sahaja berbanding permintaan yang terlalu ramai.

"Jakoa memohon kerjasama kerajaan negeri menambah bilangan kuota pemilikan rumah untuk Orang Asli.

"Bantuan ini boleh menambah bilangan penduduk dalam kalangan masyarakat itu memiliki rumah sendiri," katanya dalam ucapan pada Program Jom Bersama Rakyat - Pemimpin Mesra Rakyat Bersama Masyarakat Orang Asli Negeri Sembilan 2018 di sini hari ini.

Majlis itu telah dirasmikan oleh Menteri Besar, Aminuddin Harun. Yang turut hadir Pengarah Jakoa Negeri Sembilan dan Melaka, Haslin Abdul Razak.

Menurut Saiful Zahlan, sehingga kini, sebanyak 284 unit rumah di bawah Program Bantuan Rumah (PBR) untuk masyarakat Orang Asli telah dibina di negeri ini yang mempunyai kira-kira 12,000 orang penduduk dari masyarakat tersebut.

Sementara itu, Aminuddin dalam ucapannya berkata, nasib masyarakat Orang Asli di negeri ini akan terus terbela di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH).

"Kerajaan PH akan berusaha memastikan masyarakat Orang Asli tidak terpinggir daripada arus pembangunan," katanya. - UTUSAN ONLINE