Zahrin Aris

Pengerusi Jawatankuasa Wajib Tayang, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Zahrin Aris berkata, penambahbaikan dibuat agar mutu dan kualiti filem semakin baik pada masa akan datang.

“Ia sekali gus diyakini memberi impak positif kepada masyarakat apabila filem-filem yang diterbitkan selepas ini lebih kreatif dan bermutu. Antara pembaharuan yang dilakukan merangkumi pemilihan saiz dewan pawagam, penambahan jumlah tayangan dalam sehari dan syarat peraturan kehadiran jumlah penonton yang berkuat kuasa serta merta.

“Jika sebelum ini, penerbit diberikan dewan pawagam besar. Jadi sukar untuk mendapatkan jumlah peratusan mencecah 15 peratus bagi mengekalkan tayangan. Apabila penerbit diberi pilihan memilih dewan pawagam kecil, tidaklah begitu membebankan,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di Platinum Sentral, di sini hari ini.

Tambah Zahrin, kekerapan ta­yangan wajib sesebuah filem juga ditambah kepada lima kali sehari berbanding empat kali sebelum ini.

Pada masa sama, beliau menjelaskan, skim berkenaan tidak dimansuhkan seperti dilaporkan sebuah akhbar baru-baru ini, cuma ada syarat baharu ditetapkan termasuklah mewujudkan dua kumpulan panel bagi proses penilaian sesebuah karya.

“Karya yang tidak melepasi piawai­an kumpulan panel pertama akan diberi peluang seterusnya untuk dinilai kumpulan panel kedua yang mungkin terdiri daripada wartawan hiburan, pensyarah seni atau pelajar filem berkuat kuasa Julai depan,” ujarnya.

Jika tidak berjaya di kedua-dua peringkat, menurut Zahrin, penerbit boleh terus berbincang dengan pempamer untuk mendapatkan slot tayangan.