Pengarah Operasi Jeddah, Mohamad Zamry Mohd. Noor berkata, pendekatan baharu dengan memasukkan tiket bas ke dalam sistem membolehkan jemaah haji tidak perlu menunggu lama ketika menjalani kedua-dua proses tersebut.

“Tahun lalu tiket dikeluarkan secara fizikal iaitu dicetak dan tampal dalam pasport, tetapi sekarang tidak lagi kerana tiket sudah dimasukkan ke dalam sistem dan ini menjimatkan masa sehingga dua jam,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada wartawan Malaysia, di sini hari ini.


Video oleh ZULKIFLEE BAKAR

Mohamad Zamry berkata, kalau dahulu jemaah haji perlu me­nunggu sehingga lima atau enam jam untuk menyelesaikan proses pasport di kaunter imigresen lapangan terbang tetapi dengan penambahbaikan e-Hajj, jemaah haji hanya melaluinya bagi tempoh dua hingga tiga jam sahaja.

Beliau berkata, sistem e-hajj dilaksanakan oleh kerajaan Arab Saudi sejak beberapa tahun lalu bagi mengendalikan ketibaan jemaah haji dari seluruh dunia.

“Melalui sistem itu juga, nombor bas dan tempat penginapan jemaah haji lebih awal diketahui kerana ia dilekatkan bersama lencana mereka semasa di tanah air lagi, “ katanya

Dalam masa yang sama, Mohamad Zamry berkata, Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) turut melakukan inovasi dalam menjaga kebajikan jemaah haji Malaysia sebaik sahaja mereka tiba di sini.

“Inovasi itu ialah kita sediakan satu sistem pengesahan ketibaan jemaah haji iaitu dengan mengimbas paspor mereka.

“Melalui langkah itu ia dapat memastikan tiada mana-mana jemaah haji yang tersasar (sesat) atau tertinggal,” katanya.

Sementara itu, beliau memberitahu, setakat ini tidak ada mana-mana jemaah haji Malaysia yang menghadapi masalah ketika pro­ses dokumentasi.