Shahidan Kassim

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, bot-bot penyelamat di bawah Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) ditambah manakala jumlah aset udara dikekalkan seperti sebelum ini.

“Kita perhebatkan operasi kerana jangkaan mangsa hanyut ke perairan Brunei dan terus ke Sarawak. Brunei telah siap sedia dengan helikopter dan kapal.

“Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sarawak juga telah melaksanakan gerakan sejak semalam bermula di Miri,” katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di Sekolah Menengah Sains Sultan Ahmad Shah, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perkemba­ngan tragedi bot yang membawa 28 pelancong warga China dan tiga anak kapal yang karam ketika dalam perjalanan ke Pulau Me­ngalum, 56 kilometer di barat laut Kota Kinabalu, Sabah pada Sabtu lalu.

Setakat ini, 22 mangsa ditemukan selamat terma­suk seorang tekong dan seorang kru bot sementara tiga ditemukan lemas manakala enam lagi masih hilang.

Mangsa yang masih hilang ialah lima pelancong China dan seorang kru bot berkenaan.

Menurut Shahidan, beliau memaklumkan kepada waki Kedutaan China bahawa Malaysia me­lakukan yang terbaik dalam menangani tragedi ini terutamanya melalui SAR.

Mengulas mengenai situasi terkini banjir, beliau berpuas hati de­ngan persiapan yang disediakan di semua pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negara.

“Di Pahang misalnya, saya sifatkan sebagai layanan diraja apabila Pemangku Sultan Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mencemar duli melawat, memasak dan memberi sumbangan untuk mangsa banjir.

“Layanan seumpama ini me­rupakan salah satu usaha untuk memberikan keselesaan kepada penduduk ketika rumah mereka terjejas ekoran banjir,” jelasnya.

Beliau turut memaklumkan semua pihak kini berada dalam keadaan bersedia terutama dalam menghadapi fenomena banjir gelombang kedua yang dijangka bermula esok.