Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, perkara itu antara tiga penambahbaikan kontrak perkhidmatan makanan bermasak di sekolah berasrama yang diperkenalkan bagi kontrak berkuatkuasa mulai 1 Jun ini.

“Klausa baharu ini diwujudkan bagi memudahkan Kementerian Pendidikan mengambil tindakan penamatan kontrak diambil sekiranya terdapat kes keracunan makanan disahkan berpunca daripada pihak kontraktor.

“Ini kerana berdasarkan statistik 2015 terdapat 63 kes keracunan makanan di asrama sekolah dan jumlah itu meningkat kepada 98 kes pada tahun lalu. Hasil siasatan Kementerian Kesihatan didapati antara punca kes keracunan yang berlaku adalah makanan yang disediakan di dapur asrama.

“Untuk mengelak kes keracunan makanan begini berulang, Kementerian Pendidikan mengambil pendekatan meningkatkan prestasi pembekalan makanan bermasak melalui skop dan spesifikasi bagi kontrak pembekalan bermasak yang berkuat kuasa 1 Jun ini,” katanya di sini hari ini.

Menurut Mahdzir, pihaknya juga turut menetapkan kontraktor perlu melantik pengurus dan penyelia makanan bergantung kepada kategori sekolah.

Selain itu, tambahnya, pihaknya bagaimanapun turut memberi peluang kepada kontraktor melanjutkan tempoh kontrak pembekalan makanan dari dua tahun kepada tiga tahun tertakluk kepada prestasi kontraktor dan pengesyoran pihak sekolah. - UTUSAN ONLINE