Sehubungan itu, Pengerusi Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, program kesedaran perlu dipergiatkan bagi menggalakkan orang ramai menggunakan alat tersebut.

Selain itu katanya, penguatkuasaan perlu diperhebatkan agar semua penumpang dapat mematuhi arahan penggunaannya selepas ini.

“Bagi penumpang belakang, ia bukan sahaja mampu menyelamatkan nyawa atau mengurangkan kecederaan, tetapi melindungi pemandu dan penumpang hadapan daripada terkena impak individu yang duduk di belakang akibat perlanggaran.

“Bayangkan dengan kadar pelanggaran kelajuan 50 kilometer sejam , penumpang belakang seberat 60 kilogram (kg) boleh menghentam penumpang di hadapan dengan kesan impak lebih dua tan. Perkara ini boleh dielakkan sekiranya tali pinggang keledar tersebut digunakan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE