Presidennya, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, langkah itu bagi membolehkan gerakan koperasi mendapat manfaat dari segi pembiayaan dan pinjaman, sekaligus mendorong untuk memacu pertumbuhan ekonomi negara seperti negara-negara maju lain di Asia.

“Jika di Jepun ataupun Vietnam, gerakan koperasi ditakrif sama seperti IKS dan berjaya membantu pertumbuhan negara dengan kadar yang sangat tinggi.

“Jika kerajaan tidak boleh menakrifkan koperasi seperti IKS, maka segala bentuk insentif terhadap industri tersebut perlu dibuka sama kepada gerakan koperasi bagi membolehkan kita membantu pembangunan ekonomi dengan lebih pantas,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis penutup Konvensyen Pemerkasaan Koperasi Berlandaskan Semangat Bekerjasama dan Keusahawanan 2019 di Hotel Tenera dekat sini hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Fattah berkata, kerajaan juga perlu melihat pengurangan bajet dalam sektor koperasi sehingga mencecah 50 peratus walaupun ahli koperasi di seluruh negara melebihi 6.5 juta orang.

Katanya, peranan koperasi bukan sekadar untuk membangunkan ekonomi negara tetapi turut menjadi pemangkin kepada pembangunan sosial masyarakat dalam negara.

“Koperasi membawa nilai positif kepada cara hidup masyarakat seperti membantu mengurangkan kemiskinan dengan cara mewujudkan peluang pekerjaan.

“Kita berharap ada penyela­ra­s­an jelas daripada kerajaan untuk menggerakkan koperasi terutama dari segi pindaan akta pembangunan koperasi,” katanya.