Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein berkata, tindakan Osman itu amat dikesali dan tidak wajar baginya meninggalkan rakyat yang sedang dilanda musibah.

“Itu saya cukup kecewa, terkilan dan terkejut dengan cara kepemimpinan kerajaan negeri Johor melihat isu yang begitu berat secara mudah dan tidak menunjukkan keseriusan serta tindakan yang boleh meyakinkan orang ramai.

“Tindakan Menteri Besar pergi Batam tak menunjukkan beliau serius, Osman sepatutnya mempunyai kredibiliti dan keutamaan kepada kepemimpinan negeri terhadap apa yang berlaku di Pasir Gudang. Beliau tak patut pergi ke Batam,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Sementara itu, Hishamuddin turut mempersoalkan serta tidak berpuas hati dengan kerajaan yang menganggap pencemaran di Sungai Kim Kim sebagai tidak serius.

“Pencemaran toksik di Sungai Kim Kim melibatkan pelajar sekolah, tidak ada sebab sekolah tak boleh ambil tindakan tegas. Saya pernah memegang jawatan Menteri Pendidikan, dan saya tahu sekiranya ada perkara sebegini, menteri boleh buat satu pendirian tegas.

“Dalam konteks pertahanan, kita ada pakar, kenapa pakar dalam bidang kimia tak digerakkan lebih awal. Masa kes kekurangan air kita menggerakkan tangki dari Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), apatah lagi kes macam ini, di mana kita mempunyai kepakaran, tak patut tangguh,” katanya. - UTUSAN ONLINE