Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, pihaknya menyedari ramai yang menyuarakan hasrat untuk menceburi bidang tersebut kerana menyangka ia sesuatu yang mudah dan boleh menjana pendapatan berlipat kali ganda.

“Kementerian tahu ramai yang ingin menceburi bidang keusahawanan tapi bukan semua orang boleh, sebab untuk jadi usahawan ini ada banyak cabaran ranjau turun naik.

“Saya tak pernah lagi jumpa usahawan yang berjaya terus tanpa dugaan dan cabaran,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Sukan Ansara Malaysia Ke-19, di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, dekat sini hari ini.

Ketika diminta mengulas sama ada kementerian akan membantu pengasas minuman Hausboom, Azri Zahier Azmi yang sebelum ini tular dalam media sosial, Rina berkata;

“Itu kena tanya pada YB Syed Saddiq (Menteri Belia dan Sukan). Saya tak nak komen lebih. Saya rasa nanti kita bincang,” katanya.

Azri Zahier sebelum ini menulis dalam akaun Facebook miliknya bahawa Kementerian Belia dan Sukan 'menipunya' kerana menjanjikan promosi produk termasuk di akaun Instagram milik Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, namun tidak melakukan seperti dijanjikan.

Tulisan usahawan berkenaan walau bagaimanapun dinafikan Syed Saddiq yang menyifatkan ia sebagai tuduhan dan menegaskan beliau yang membantu produk itu agar dapat memasuki rangkaian kedai serbaneka 7-Eleven. - UTUSAN ONLINE