Perkara itu ditekankan Perdana Menteri ketika diajukan mengenai pencapaian barisan jemaah menteri di bawah pentadbiran beliau sejak mengambil alih kerajaan pada Mei lalu.

“Saya tidak pernah puas hati. Saya kalau boleh (sesuatu yang diarahkan) dibuat kelmarin, bukannya hari ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) di Menara Yayasan Selangor dekat sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr. Mahathir turut menzahirkan rasa tidak berpuas hati dengan tindakan segelintir pegawai kerajaan yang didakwanya masih setia kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dr. Mahathir memberi contoh tindakan beberapa pegawai yang melengah-lengahkan pelantikan pegawai menteri sehingga tidak menerima gaji selama empat bulan meskipun perkara itu telah diluluskan beliau.

“Jadi, dalam jentera pentadbiran ini ada orang yang agak liat, tidak mahu terima pelantikan kerajaan baharu, mereka masih terpengaruh dengan kerajaan lama.

“Untuk licinkan pentadbiran, perlu ubah jawatan atau gugurkan sesetengah pegawai tersebut,” jelas beliau.