Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, walaupun ada pihak yang mendesak kerajaan ne­geri mengosongkan jawatan dipegang Norhizam itu, beliau berharap pihaknya diberikan peluang untuk membuat penambahbaikan.

“Penambahbaikan ini bukan kepada kita sahaja tetapi kepada sistem di dalam kerajaan secara keseluruhan.

“Itu jugalah hasrat rakyat untuk kita menambah baik keseluruhan sistem di negara kita ini,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, Norhizam sudah berkhidmat begitu cemerlang dalam tempoh beberapa bulan ini.

Malah katanya, beliau antara Exco yang paling aktif dan hampir setiap hari turun padang mendampingi isu rakyat, cuma pendekatan dan kaedah digunakan akan diperbaiki dari semasa ke semasa.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas desakan masyarakat yang tidak mahu sekadar permohonan maaf daripada Norhizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, sebaliknya mahu wakil rakyat itu meletak jawatan susulan ‘keceluparannya’ ketika berdepan dengan masalah rakyat.

Norhizam turut dilabelkan sebagai Yang Berhormat (YB) Samseng, YB Gengster, YB Biadab lantaran sikapnya yang dikatakan terlalu agresif ketika bertemu penduduk dan gelaran itu tersebar ke seluruh negara apabila rakaman video membabitkan beliau tular dalam laman sosial.

Antara isu yang dikaitkan adalah kekecohan ketika beliau mengetuai serbuan di stor simpanan baja di Merlimau pada Ogos lalu diikuti perbalahannya dengan sekumpulan nelayan di Kampung Hailam, Tanjung Kling beberapa hari kemudian dan terbaharu, pertengkaran dengan sekumpulan penduduk berhubung penutupan jalan perumahan di Taman Akasia, kelmarin.

Norhizam dalam sidang akhbar di Seri Negeri di sini semalam tampil membuat permohonan maaf susulan isu yang mencetuskan kemarahan orang ramai menerusi video kontroversi yang tular berkenaan.

Pada masa sama, beliau turut mengakui kesilapannya yang bertindak mengikut emosi, selain sedar insiden yang tular dalam media sosial memberi imej negatif kepada dirinya sebagai wakil rakyat dan kerajaan yang diwakili.