Dalam hal tersebut, semua pihak kena jelas bahawa dakwaan terhadap tiga individu terbabit kerana kenyataan terbuka mereka mempertikai dan menghina kedudukan Sultan Muhammad V sebagai ketua kerajaan dan ketua agama Islam.

Pakar Perlembagaan Persekutuan, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman mengakui pihak polis mungkin perlu meneliti semula kenyataan yang dikeluarkan tiga individu itu, sama ada menghina atau menghasut.

"Kalau kita menghina, interpretasinya kena diteliti apa yang mereka kata kerana mungkin ia tidak termasuk dalam Akta Hasutan jika tiada kecenderungan menghasut.

"Tetapi, netizen kena faham dan hormat Perlembagaan Persekutuan termasuk kedaulatan raja-raja, tidak boleh main-main kerana mereka adalah ketua kerajaan yang juga ketua agama Islam di negara ini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Subang Jaya, Farhan Haziq Mohamed dan Setiausaha Politik Lim Kit Siang, Syahredzan Johan dalam satu kenyataan bersama menyifatkan tindakan polis menyiasat tiga individu terbabit di bawah Akta Hasutan 1948 adalah bertentangan dengan dasar kerajaan Pakatan Harapan (PH). - UTUSAN ONLINE