Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, pindaan yang dilakukan kepada Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2002 (Pindaan 2007) itu adalah penambahbaikan bagi melicinkan lagi tugas Mahkamah Syariah, pendakwa, peguam syarie dan penguatkuasa undang-undang.

Beliau berkata, sebarang perbelanjaan tambahan yang diperlukan pula akan diurus secara tidak langsung menerusi peruntukan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK).

"Peruntukan sudah ada jadi selepas ini kita akan bermesyuarat bagi menentukan mana tempat-tempat awam yang sesuai yang boleh ditonton ramai.

"Sebenarnya ini membawa ke arah kebaikan dan sepatutnya tidak menjadi isu yang diperbesarkan, ia bukanlah untuk menyiksa tapi lebih kepada beri kesedaran untuk mendidik dan memberi pengajaran kepada orang ramai.

"Pindaan ini membolehkan kita menentukan tempat awam yang akan diwarta, masyarakat yang melihat tidak kurang dari empat orang dan ada doktor yang memantau," katanya ketika menghadiri Majlis Anugerah Al Fateh Cilik 1438H anjuran Pertubuhan Ikram Tumpat dan Masjid Putra di Taman Desa SBJ Putra di sini hari ini.

Yang turut hadir, Yang Dipertua Ikram negeri, Dr. Mohd. Shaarani Mohd Naim; Timbalan Ketua Wanita Ikram negeri, Dr. Zaharah Sulaiman; Imam 1 Masjid Putra, Abd. Rashid Abd. Lateh dan Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Desa SBJ Putra, Nawawi Adam.

Terdahulu, Ahmad menyampaikan hadiah 57 buah basikal kepada 44 peserta lelaki dan 13 peserta perempuan berusia 12 tahun ke bawah yang berjaya menunaikan solat subuh berjemaah di masjid sepanjang bulan Ramadan lalu. - UTUSAN ONLINE