Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, budaya yang tidak sihat adalah apabila berita yang tidak betul dianggap betul oleh pengguna.

"Pengguna mesti bertanggungjawab, maknanya berita yang nak dikongsi atau dimuat naik mesti disemak kebenarannya. Kalau tak pasti rujuk balik kepada sumber yang berkaitan.

"Kalau (kandungan) itu sumber polis rujuk dengan polis atau kalau daripada agensi kerajaan kena rujuk dahulu dengan mereka sebelum kita kongsi kecuali kalau dapat daripada saluran rasmi," katanya pada Program Kembara Bermotosikal 2.0 Rayuan Tabung Amanah Warisan Polis (TAWP) sempena sambutan Hari Polis ke-211 di Kompleks Penghulu Sungai Balang, di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Balang, Zaiton Ismail dan Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip.

Konvoi disertai kira-kira 70 anggota dan pegawai PDRM termasuk dari kontinjen Johor itu memulakan jelajah dari ibu negara pagi tadi sebelum singgah di Tangkak dan Muar.

Hingga kini, sebanyak RM238,500 berjaya dikutip daripada pelbagai pihak dalam siri kedua kembara yang akan berakhir di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, esok. - UTUSAN ONLINE