Walaupun peraturan larangan me­rokok yang diwartakan mengikut Peraturan 11, Peraturan Kawalan Hasil Tem­bakau 2004 telah berkuat kuasa bermula hari ini, tetapi masih ramai individu yang berani merokok di premis restoran secara terbuka.

Bahkan, ada dalam kalangan perokok yang tidak mengendahkan tanda larangan merokok yang ditampal pemilik restoran di kawasan premis makanan dan dengan bersahaja merokok beramai-ramai tanpa perasaan malu.

Tinjauan Utusan Malaysia di premis makanan sekitar ibu kota mendapati banyak restoran yang seolah-olah membiarkan pelanggan mereka merokok secara terbuka.

Padahal, bagi pengusaha kedai makan dan restoran yang gagal mematuhi peraturan tersebut, mereka boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan jika didapati bersalah.

Namun begitu, ada juga pemilik restoran yang mengambil inisiatif untuk menegur pelanggan yang merokok di kawasan premis demi memastikan usaha Kementerian Kesihatan mewujudkan persekitaran selesa buat orang ramai tercapai.

Menurut pemilik Restoran Yusoof dan Zakhir, Zakhir Hussain berkata, sempena hari pertama penguatkuasaan larangan merokok ini, dia mengambil inisiatif untuk menegur dan memaklumkan kepada pelanggan berkenaan peraturan baharu itu kerana masih ramai orang yang tidak faham tentangnya.

“Bermula pagi tadi, ramai pelanggan yang cuba merokok di dalam premis tetapi saya bersama pembantu kedai mengambil inisiatif awal untuk memaklumkan kepada mereka mengenai peraturan ini.

Walaupun ada yang tidak berpuas hati, akhirnya mereka akur dan memberi kerjasama yang baik kepada kami.

“Kasihan juga kepada perokok kerana kami tidak mempunyai ruangan khas untuk mereka merokok,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika melakukan tinjauan di sekitar kawasan Pudu Raya di sini hari ini.

Sementara itu, seorang pelanggan, Hashim Abdullah, 78, berkata, peraturan larangan merokok itu perlu dikuatkuasakan secara menyeluruh bagi memastikan tiada lagi aktiviti merokok secara terbuka di kawasan terbabit.

Katanya, mereka lebih gembira untuk menjamu selera di restoran kerana kawasan persekitaran yang bebas asap rokok membuatkan orang ramai lebih selesa.

“Peraturan ini secara tidak langsung boleh dijadikan azam buat para perokok untuk meninggalkan tabiat tidak sihat mereka itu dengan lebih berdisiplin,” katanya.