Mufti Perak, Tan Sri Dr. Harussani Zakaria berkata, tindakan pemimpin pembangkang yang mempertikaikan status ibadah haji penerima tajaan Yayasan 1MDB adalah berniat jahat dan perbuatan fitnah yang dilakukan demi kepentingan diri sendiri.

Menurutnya, hak untuk menentukan status haji seseorang itu mabrur atau tidak adalah milik Allah dan manusia biasa tidak boleh menjatuhkan hukum mengikut akal fikiran mereka.

“Seseorang yang tidak mempunyai ilmu tentang sesuatu perkara tidak perlu mengeluarkan kenyataan yang boleh mengelirukan masyarakat.

“Tajaan yang diberikan oleh yayasan tersebut merupakan satu derma untuk membantu umat Islam dalam negara menunaikan rukun Islam yang kelima. Ia sah dari segi hukum dan syarak,” katanya.

Sementara itu, seorang daripada penerima tajaan tersebut pada 2013, Mohd. Zulrushdi Salleh, 48, berkata, dia sangat terkejut dan terkilan dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin tersebut.

Katanya, sebagai seorang penganut Islam, adalah tidak wajar seseorang, terutama pemimpin mengeluarkan kenyataan yang berbaur fitnah.

“Sepatutnya ibadah haji tidak perlu dijadikan alat untuk meraih perhatian rakyat kerana ia adalah satu daripada rukun Islam.

“Status haji yang mabrur adalah hak mutlak Allah dan manusia biasa tidak berhak menjatuhkan hukum mengikut pemikiran akal mereka,” katanya.

Dalam nada yang sama, seorang lagi penerima, Wan Erman Wan Emran, 40, berkata, ahli politik sepatutnya mengetahui batas untuk berpolitik dengan tidak menggunakan agama sebagai alat meraih perhatian rakyat.

Katanya, tohmahan yang dilakukan oleh pemimpin pembangkang itu bukan sahaja mengguris hati penerima tajaan Yayasan 1MDB, malah turut melibatkan maruah keluarga mereka.

Wan Erman berkata, program anjuran 1MDB itu merupakan platform terbaik untuk membantu umat Islam dan usaha menentang perkara murni itu menunjukkan sikap sebenar individu yang sanggup mempergunakan agama demi kepentingan peribadi.