Taiping yang juga dikenali sebagai bandar paling lembap di Malaysia disebabkan menerima taburan hujan tinggi sepanjang tahun berada di belakang ibu negara Slovenia, Ljubljana dan Vancouver, Kanada.

Bandar warisan itu dinobatkan sebagai ketiga terbaik dalam kategori Bandar Terbaik mengiktiraf bandar raya yang menerajui kelestarian bandar dan mengelakkan gangguan berlebihan dalam sektor pelancongan.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Datuk Abd. Rahim Md. Ariff berkata, anugerah yang diterima itu merupakan kejayaan bersama seluruh komuniti termasuk agensi terbabit dalam usaha memastikan kelestarian bandar tersebut.

Katanya, walaupun pernah menerima beberapa anugerah lain pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa, namun anugerah yang julung kali diterima semalam dianggap paling berprestij dan bertaraf dunia.

“Harapan saya supaya semua agensi berkaitan kelestarian alam sekitar dan pembangunan mapan terus komited menjalankan tanggungjawab masing-masing supaya bandar ini berterusan dilestarikan.

“Seluruh penduduk dan komuniti Taiping juga perlu terus berusaha memastikan kawasan bandar ini sentiasa bersih, terpelihara dan terhindar daripada kekotoran sampah serta kerosakan alam sekitar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Anugerah tersebut diterima sendiri Abd. Rahim di Berlin, semalam dan majlis berkenaan turut menyaksikan kehadiran Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Perak, Tan Kar Hing. - UTUSAN ONLINE