Pengarah Urusannya, Datuk Azman Ismail berkata, langkah untuk mengurangkan kesesakan yang sering berlaku pada hari puncak itu akan berkuatkuasa bermula 14 Februari hingga 25 Februari ini.

Justeru beliau meminta pengguna jalan raya supaya membuat persediaan lebih awal dengan menambah nilai kad Touch ‘n Go di pusat khidmat pelanggan PLUS sebelum memulakan perjalanan.

“Orang ramai boleh menambah nilai kad tol di 32 kiosk layan diri yang disediakan di plaza tol dan kawasan rehat dan rawat (R&R) terpilih di sepanjang le­buh raya yang dibuka setiap hari bermula pukul 7 pagi hingga 10 malam.

“Selain itu, pusat tambah nilai turut disediakan di 9,200 lokasi di seluruh negara termasuk stesen minyak, pasar raya dan kedai serbaneka 24 jam,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Operasi PLUS, Zakaria Ahmad Zabidi.

Sementara itu, Azman berkata, sebanyak 1.6 juta kenderaan dijangka menggunakan lebuh raya tersebut pada setiap hari puncak sempena cuti perayaan itu.

“PLUS mengatur pelbagai strategi bagi membantu pengguna lebuh raya menikmati perjalanan lebih lancar dan selesa.

“Strategi utama kami adalah membuat agihan trafik dan menggalakkan orang ramai memulakan perjalanan pada hari bukan puncak menerusi pemberian rebat tol 20 peratus serta melaksanakan Cadangan Waktu Perjalanan (TTA),” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Sementara itu katanya, PLUS menjangkakan peningkatan kira-kira 10.3 peratus jumlah trafik pada minggu ini berbanding hari biasa.

“Laluan antara Rawang, Selangor hingga Simpang Pulai, Perak dijangka mencatat peningkatan trafik antara 127 hingga 145 peratus ketika orang ramai pulang ke kampung,’’ katanya.

Tambah beliau, sebanyak 5,500 petugas sedia memberi bantuan dan perkhidmatan kepada pengguna lebuh raya sepanjang musim perayaan berkenaan.