Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, dengan kemudahan dan suasana pengajaran dan pem-belajaran yang makin baik telah berjaya menarik minat lebih ramai anak-anak mereka untuk ke sekolah dan belajar di peringkat lebih tinggi.

“Kini terdapat 99 buah sekolah bagi komuniti itu di seluruh negara termasuk sebuah sekolah menengah dengan jumlah pelajarnya seramai 37,934 orang manakala tenaga pengajar seramai 329 orang.

“Daripada jumlah itu terdapat lima buah sekolah kategori K9 yang menempatkan sekolah rendah dan sekolah menengah (tingkatan satu hingga tiga) dalam satu kawasan iaitu dua di Perak, dua di Pahang dan satu di Selangor, “ katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Bangunan Baharu Sekolah Rendah Sungai Berua di perkampungan Orang Asli Sungai Berua, dekat sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan negeri, A. Latiff Awang dan Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Tugas-Tugas Khas negeri, Dr. Ghazali Taib;

Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Seri Alias Ahmad; Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Amin Senin dan Timbalan Pengerusi Eksekutif T7 Global Berhad, Tan Sri Tan Kean Soon.

Mahdzir turut berkata, pihak kementerian sentiasa mengalu-alukan sumbangan dalam pelbagai bentuk daripada pihak swasta bagi bersama membantu pembangunan pendidikan di kalangan komuniti Orang Asli.

Sementara itu, Tan Kean Soon berkata bangunan tambahan yang bernilai RM200,000 berkenaan disumbangkan oleh T7 Global Berhad bagi memberikan keselesaan dan kemudahan pembelajaran kepada murid-murid Orang Asli.

“Selain itu, diharap dapat merangsang mereka untuk meneruskan pembelajaran dan sentiasa hadir ke sekolah. Pihak kami juga berbesar hati untuk menjadikan 104 murid-murid di sekolah ini sebagai anak angkat T7 Global Berhad, “ ujarnya. - UTUSAN ONLINE