Ismail Abd. Muttalib

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abd. Muttalib berkata, menurut statistik itu, 73 peratus daripada pencarum Perkeso yang telah menjalani saringan kesihatan berkenaan didapati mempunyai masalah berat badan berlebihan.

Katanya, 62 peratus daripada mereka yang bermasalah berat badan tersebut didapati mempunyai paras kolesterol yang tinggi sementara 27 peratus lagi berdepan masalah tekanan darah tinggi dan sembilan peratus disahkan menghidap penyakit ken­cing manis.

“Keadaan ini menunjukkan kurangnya kesedaran dalam kalangan pekerja khususnya pencarum Perkeso dalam penjagaan kesihatan.

“Sehubungan itu, mereka seharusnya menyeimbangkan ke­sibukan kerja dengan melibatkan diri dalam aktiviti sihat dan tidak hanya fokus kepada kerja semata-mata hingga mengabaikan kesihatan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan larian Run and Ride Perkeso yang disertai oleh lebih 5,000 peserta dan turut menyempurnakan majlis prapelancaran Hari Pekerja 2017.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Seri Adenan Ab. Rahman; Pengerusi Lembaga Perkeso, Datuk Abu Huraira Abu Yazid dan Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso, Datuk Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Mengulas lanjut, beliau menyeru semua pihak termasuk agensi kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan memainkan peranan sebagai satu usaha secara bersama dalam meningkatkan kualiti pekerja di negara ini agar sentiasa sihat dan produktif.

“Untuk melahirkan pekerja yang cemerlang, berdisplin serta responsif, tahap kesihatan yang baik memainkan peranan pen­ting kerana ia turut menyumbang kepada mutu kerja mereka,” ujarnya.