Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas Bhd. (Takaful Ikhlas), Datuk Ab. Latiff Abu Bakar berkata, masyarakat sering memberikan alasan tidak mampu untuk membayar premium bulanan sedangkan kadar harga premium bagi perlindungan takaful hanya serendah RM20 setahun.

Ujarnya, orang ramai seharus­nya mengenal pasti antara keperluan dan kehendak serta melakukan perancangan kewangan yang betul bagi membolehkan mereka komited dengan bayaran premium mengikut jadual.

Beliau berkata, pembayaran mengikut jadual membolehkan pemegang polisi mendapat manfaat penuh daripada syarikat pembekal insurans dan takaful.

“Ramai orang mempunyai perlindungan tetapi ada masalah dengan komitmen bayaran bulanan.

“Harus diingatkan bahawa pembayaran premium bulanan mahupun tahunan perlu dibuat mengikut jadual untuk mengelakkan masalah-masalah lain timbul,” katanya dalam program bual bicara Santai Labur PNB di sini hari ini.

Yang turut hadir selebriti tanah air, Fasha Sandha dan Fara Fauzana.

Program itu diadakan sempena penganjuran Minggu Saham Amanah Malaysia 2016 (MSAM 2016) di Stadium Tun Ahmad Sarji.

Sementara itu, Fasha Sandha turut berkongsi pengalaman beliau mengenai kepentingan pelaburan dan perlindungan insurans.

Ujar Fasha, beliau mula melabur sejak berusia 19 tahun dan pernah melabur di tempat yang salah dan terpaksa menanggung kerugian.

“Saya ingin menasihatkan anda semua untuk pilih tempat pelaburan yang betul dan sejak saya ditipu satu masa dahulu saya kini hanya melabur di Amanah Saham Nasional Bhd. (ASNB) sahaja,” katanya.