RICHARD RIOT
RICHARD RIOT

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Dr Richard Riot Jaem berkata, sehubungan itu majikan perlu lebih serius menangani perkara itu termasuk melaporkan sebarang kes membabitkan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja kepada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dengan kadar segera bagi memastikan tindakan pencegahan dapat dilakukan.

“Tujuan utama pelaporan ini adalah untuk JKKP menentukan punca berlakunya kemalangan ataupun penyakit pekerjaan supaya tindakan pencegahan dapat diambil agar kejadian sama tidak berulang.

“Pada masa yang sama, maklumat terkumpul akan menjadi pangkalan data kepada jabatan untuk menganalisis dan menyediakan pelan strategik bagi mentadbir dan menguatkuasakan perundangan,” katanya ketika merasmikan Seminar Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan 2017 di sini hari ini.

Teks ucapan Riot dibacakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Datuk Seri Adenan Ab Rahman.

Seminar anjuran JKKP dengan kerjasama Hospital Kuala Lumpur bertujuan memberi penerangan dan meningkatkan pengetahuan pengamal perubatan mengenai penyakit pekerjaan dalam negara ini bagi membolehkan pemantauan dan laporan dibuat.

Riot juga berkata berdasarkan kajian Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) di tempat kerja didapati kes keracunan pekerjaan lebih kerap berlaku berbanding pendedahan kepada penyakit iaitu pada kadar nisbah 6:1.

“Amalan budaya kerja selamat dan sihat di tempat kerja perlu diterapkan dan diamalkan semua pihak bagi memastikan dan mencegah kemalangan dan penyakit pekerjaan daripada berterusan berlaku di negara kita.

“Saya berharap kadar kemalangan pekerjaan negara akan terus menurun pada masa hadapan dan seterusnya dapat memberi impak positif kepada negara bahawa bekerja di Malaysia adalah selamat dan sihat,” katanya.

Riot berkata, kombinasi membabitkan majikan yang prihatin, pekerja berkualiti dan produktif, sistem pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang efektif, serta persekitaran kerja yang kondusif, dapat menjamin perkhidmatan dan produk sesebuah organisasi mencapai tahap yang dikehendaki. -- BERNAMA