Perkara itu dinyatakan oleh Ahli Parlimen Julau, Larry Sng apabila beliau dimaklumkan oleh seorang wakil keluarga yang berada di Kemboja.

"Memandangkan komunikasi yang amat terhad, saya sedang berusaha menggunakan kapasiti peribadi saya untuk mendapatkan maklumat yang lebih terperinci tentang perkara ini.

"Saya memohon kepada rakyat Malaysia untuk sama-sama mendoakan agar kesemua tahanan ini berada dalam keadaan selamat," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pada Khamis lalu, Kementerian Luar mengesahkan laporan penahanan 47 rakyat Malaysia di Poi Pet, Kemboja sejak 11 Disember lalu atas pertuduhan menipu, membuka dan menjalankan aktiviti perjudian dalam talian secara haram.

Dikatakan kesemua mereka ditahan di negara tersebut setelah terpesona dengan janji manis berupa gaji lumayan yang dipercayai didalangi sindiket pemerdagangan manusia dari China.

Tambah Sng, beliau telah menghantar surat kepada Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah bagi menyatakan hasrat melawat 47 tahanan rakyat Malaysia itu.

"Dalam surat tersebut, saya memohon pandangan menteri tentang hasrat beberapa ahli keluarga mangsa tahanan dan wakil media untuk turut sama meninjau sendiri keadaan mereka di sana," katanya.

Sebahagian besar rakyat Malaysia yang ditahan itu dikatakan berasal dari Sarawak.-UTUSAN ONLINE