Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, sumbangan orang ramai kepada masyarakat Ro­hingya menerusi Tabung Ro­hingya Utusan-TH amat mengga­lakkan dan beliau difahamkan jumlah kutipan terkini adalah kira-kira RM900,000.

“Sebanyak lapan peratus daripada sumbangan orang ramai untuk Tabung Rohingya Utusan-TH dimanfaatkan untuk Misi Food Flotilla For Myanmar yang berlepas ke Yangon, Myanmar dan Teknaf, Bangladesh hari ini.

“Saya amat mengalu-alukan sumbangan berterusan orang ramai kepada masyarakat Rohingya melalui Tabung Rohingya Utusan-TH agar kita boleh membantu masyarakat Rohingya “ katanya di sini hari ini.

Tabung Rohingya Utusan-TH dilancarkan Kumpulan Utusan dan Tabung Haji pada 26 November tahun lalu dan akan dibuka selama empat bulan bermula 1 Disember 2016 hingga 1 April 2017.

Orang ramai boleh me­nyalurkan sumbangan kepada Tetuan Yayasan Kumpulan Utusan melalui akaun Bank Islam 14283010000572.

Abdul Azeez yang juga Presiden Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) berkata, orang ramai tidak perlu bimbang dengan hasil sumbangan mereka melalui tabung berkenaan kerana pihaknya akan memastikan sumbangan sampai kepada golo­ngan sasar.

“Setiap sumbangan yang diterima kita akan umumkan ke mana ia disalurkan tanpa berselindung.

“Masyarakat Rohingya memerlukan bantuan daripada semua pihak dan seluruh rakyat Malaysia membuktikan kita komited untuk membantu mereka,” katanya.