Ketua Pengarah Jakim, Datuk Mohamad Nordin Ibrahim berkata, kutipan tabung berkenaan bakal digerakkan menerusi masjid-masjid dan surau-surau di bawah pentadbiran Jakim dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

“Jakim menzahirkan rasa simpati atas musibah ini dan merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa yang terlibat.

“Sesungguhnya ini adalah merupakan ujian dan ketentuan takdir Allah untuk hamba-Nya dan kita tidak mampu untuk menghalangnya,” kata beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pada 28 September lalu, kejadian gempa bumi di Sulawesi, Indonesia dengan magnitud 7.4 skala Richter dan diikuti tsunami yang melanda pantai Talise, Palu dan Donggala mengakibatkan kira-kira 1,203 orang terkorban.

Menurut Mohamad Nordin, pihaknya berasa terkejut dan sedih dengan kejadian berkenaan memandangkan Indonesia bersama Malaysia, Brunei dan Singapura mempunyai hubungan yang rapat khususnya dalam bidang kebajikan dan dakwah.

“Jakim menyeru rakyat Malaysia untuk sama-sama menyumbang dan mendoakan agar Allah SWT mengembalikan kesejahteraan kepada para penduduk Semenanjung Minahassa, Sulawesi, Indonesia. Semoga usaha yang sedikit ini menzahirkan Islam sebagai agama Rahmatan Lil Alamin,” katanya.

Sementara itu, Islamic Relief Malaysia (IRM) melancarkan Tabung Rayuan Kecemasan Indonesia bagi memohon sumbangan orang ramai untuk membantu mangsa gempa bumi di Sulawesi, Indonesia.

Ketua Pegawai Eksekutif IRM, Zairulshahfuddin Zainal Abidin berkata, pihaknya menyasarkan kutipan sebanyak RM500,000 bagi menyalurkan bantuan kemanusiaan di Palu dan Donggala iaitu antara kawasan bencana.

“Melalui penilaian dan tinjauan yang dilakukan, dana terkumpul boleh digunakan untuk membeli barangan keperluan seperti makanan, minuman dan membaik pulih sistem bekalan air,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Orang ramai yang ingin membuat sumbangan boleh salurkan ke akaun Maybank Islamic 562142708704, CIMB Islamic 8602073818, Bank Islam 12029010065643, Affin Bank 106710002784 dan Bank Rakyat 110801000035 atas nama IRM.

Untuk maklumat lanjut layari laman web rasmi IRM atau hubungi talian 03-89263434.