Perkara ini terbukti apabila Tabung Rohingya Utusan-TH mendapat perhatian daripada perwakilan yang mengambil peluang untuk menderma menerusi tabung itu yang ditempatkan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) tempat perhimpunan itu berlangsung.

Sebanyak dua tabung ditempatkan selama empat hari bermula hari ini bagi memudahkan orang ramai menghulurkan sumbangan iaitu di pintu masuk utama serta di kaunter pemasaran yang terletak di aras tiga PWTC.

Antara yang mengambil peluang menderma menerusi tabung itu ialah penyanyi pop yeh yeh terkenal, Datuk A. Rahman Hassan bagi membantu meri­ngankan penderitaan etnik ber­kenaan.

“Apa yang terjadi di Myanmar merupakan suatu kezaliman yang terlalu dahsyat untuk digambarkan. Mereka sanggup membunuh tanpa belas kasihan demi mencapai matlamat utama iaitu menghapuskan etnik Ro­hingya dari negara itu.

“Saya menyeru semua artis dan rakyat Malaysia bersama-sama menunjukkan sokongan dan simpati kepada saudara seagama kita di sana dengan menderma ke tabung ini. Biar sedikit asalkan kita membantu,” katanya.

Orang ramai boleh juga menderma menerusi akaun Bank Islam 14283010000572 atas nama Tetuan Yayasan Kumpulan Utusan bermula esok sehingga 1 April 2017.