Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Johan Abdullah berkata, hanya 51 jemaah haji masih belum berlepas ke Tanah Suci berbanding sebanyak 229 jemaah yang berdepan masalah visa sejak penerbangan pertama hingga penerbangan ke-47 kumpulan haji semalam.

Menurut beliau, masalah visa yang dihadapi sebanyak 178 jemaah haji berjaya diselesaikan hasil langkah agresif diambil Tabung Haji dengan sokongan penuh Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia.

“Sehingga kini, hanya 51 jemaah yang masih belum berlepas dan mereka ditempatkan di beberapa hotel sekitar Kelana Jaya di mana semua perbelanjaan ditanggung sepenuhnya oleh Tabung Haji.

“Masalah visa dihadapi semua jemaah terbabit adalah di­sebabkan oleh masalah kelewatan pengeluaran visa akibat peningkatan drastik jumlah jemaah haji tahun ini seramai 30,200 orang berbanding hanya 22,000 jemaah tahun sebelumnya.

“Jemaah terlibat akan dapat berlepas dalam masa terdekat menggunakan pesawat sedia ada yang masih lagi mempu­nyai lebih­an tempat duduk hasil penambahbaikan pesawat lebih besar digunakan oleh kesemua 110 penerbangan haji tahun ini,” katanya dalam sidang akhbar berhubung status terkini visa jemaah haji Malaysia di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalannya, Datuk Badlisyah Abdul Ghani dan Pengurus Besar Kanan Jabatan Haji Tabung Haji, Datuk Syed Saleh Syed Abd. Rahman.

Menurut Johan, sehingga kini, sebanyak 16,974 jemaah haji Malaysia telah berlepas melalui 47 penerbangan setakat semalam.

“Secara keseluruhan, seba­nyak 63 lagi penerbangan akan berlepas secara berperingkat de­ngan penerbangan terakhir dija­dualkan pada 26 Ogos ini.

“Bagi mengelak sebarang maklumat tidak tepat berkenaan isu ini, Tabung Haji turut ambil langkah proaktif menyediakan Bilik Maklumat Bakal Haji Bermasalah Visa yang boleh dihubungi melalui talian 03-78736297,” ujarnya.