Pengerusinya, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, usaha itu bagi memberi keselesaan kepada jemaah haji sepanjang mengerjakan rukun Islam yang kelima itu walaupun terpaksa berdepan dengan cuaca panas terik.

“Pada tahun ini, Arab Saudi menetapkan syarat baharu iaitu sistem biometrik terhadap 10 jari jemaah haji perlu direkodkan. Kita mengambil langkah menyediakan rekod biometrik itu di Malaysia lagi.

“Dengan itu, kita berjaya mempercepatkan proses imigresen dan kastam ketika jemaah Malaysia tiba di terminal haji dari lima jam kepada tiga jam.

“Kita akan membuat KPI waktu bagi menambah baik kaedah pengurusan jemaah sebaik mereka turun dari kapal terbang sehingga sampai ke maktab penginapan pada tahun akan datang,” katanya selepas Majlis Mengucapkan Selamat Jalan kepada jemaah haji negeri Kedah ke Tanah Suci di sini semalam.


Video oleh ZULKIFLEE BAKAR

Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tan Sri Tunku Sallehudin Sultan Badlishah dan isteri, Tunku Puan Temenggong Kedah, Puan Sri Tengku Maliha Tengku Ariff berkenan berangkat ke majlis itu.

Hadir sama, Menteri Besar, ­Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Abdul Azeez memberitahu, pada tahun ini, pihaknya turut melakukan penambahbaikan dengan menyediakan kawalan trafik bagi melancarkan perjalanan jemaah dalam keadaan cuaca yang terlalu panas.

“Sebab kita tahu cuaca panas, kita micro manage pergerakan bas yang membawa jemaah. Ini kerana dalam keadaan cuaca terlalu panas, penghawa dingin mungkin bermasalah dan tayar mudah meletup,” ujarnya.